Thursday, July 9, 2009

:: United sambar pemain sayap Bordeaux ::

LONDON - Manchester United semakin hampir mendapatkan pemain sayap Bordeaux, Gabriel Obertan tatkala penjaga gol, Ben Foster melanjutkan kontrak kepada empat tahun.

Obertan, 20, akan menjalani ujian kesihatan sebelum menandatangani kontrak selama empat tahun yang dianggarkan bernilai 3 juta pound.

''Kami telah bersetuju menjualnya (Obertan). Kami telah bersetuju dengan Manchester United dan sekarang hanya menunggu laporan kesihatan,'' kata Presiden Bordeaux, Jean-Louis Triaud.

Bordeaux sebelum meminjamkan pemain Perancis bawah 21 tahun itu kepada Lorient pada enam bulan terakhir musim lepas. Sepanjang itu dia tampil dalam 15 perlawanan dan menjaringkan satu gol.

Berkebolehan bermain di kedua-dua sayap, Obertan memberi ruang kepada Alex Ferguson yang sedang mencari pengganti Cristiano Ronaldo.

United sebelum ini telah pun menandatangani kontrak dengan pemain Ecuador, Antonio Valencia.

Ferguson juga tidak melupakan peranan penjaga gol, Foster yang sebelum ini memikirkan untuk meninggalkan Old Trafford ekoran dipinggirkan daripada kesebelasan utama, tetapi kontraknya disambung sehingga tahun 2013.

''Saya gembira untuk bersama kelab ini. Semangat berpasukan di sini hebat,'' kata Foster.

Malah, Foster juga telah diberikan jaminan akan menggantikan penjaga gol pertama pasukan itu, Edwin van der Sar yang kini berusia 38 tahun.

Foster yang menyertai United pada tahun 2005 bergelut dengan kecederaan sejak menyertai juara Liga Perdana England itu pada 2005, sehingga mengehadkan penampilannya.

Foster sendiri akur bahawa dia perlu berada dalam pasukan utama jika mahu dipilih dalam skuad England pada Piala Dunia 2010.

Akhirnya, dia berjaya beraksi untuk England ketika menentang Slovakia, Mac lalu selepas dua tahun menunggu.

''Ben adalah penjaga gol muda yang berbakat dan bakal menjadi hebat seperti Edwin van Der Sar,'' kata pengurus United, Alex Ferguson. - AP

No comments:

Post a Comment